Muka dan bentuk hablur Hablur

Apabila hablur halit berkembang, atom-atom baru boleh mudah sekali melekap pada bahagian permukaan yang berstruktur skala atom kasar serta kebanyakan ikatan terjuntai. Maka bahagian-bahagian hablur berkenaan tumbuh menjulur dengan cepat sekali (anak panah kuning). Akhirnya, seluruh permukaan terdiri daripada muka-muka yang licin dan stabil yang mana atom-atom baru tidak boleh melekap dengan begitu mudah.

Hablur pada amnya dikenali dengan bentuknya yang terdiri daripada muka-muka leper dengan bucu-bucu tajam. Ciri-ciri bentuk ini tidak semestinya untuk hablur (dalam sains, hablur tertakrif dengan susunan atom mikroskopik, bukan bentuk nyata) tetapi bentuk kecirian yang nyatanya sudah pasti mudah kelihatan.

Hablur euhedral adalah yang nyata bermuka-muka leper yang terbentuk kemas, tetapi lain pula bagi hablur anhedral kerana lazimnya hablur sedemikian merupakan satu butir dalam pepejal polihablur.

Muka-muka leper (atau segi) hablur euhedral diorientasikan secara tertentu yang nisbi dengan susunan atom dasar hablur, iaitu satah yang agak rendah pada indeks Miller.[4] Ini berlaku kerana sesetengah orientasi permukaan lebih stabil daripada yang lain (iaitu kurangnya tenaga permukaan). Apabila hablur itu berkembang, atom-atom baru mudah sekali melekap pada permukaan yang lebih kasar dan kurang stabil, tetapi kurang senang pada permukaan leper yang lebih stabil. Oleh itu, permukaan leper cenderung berkembang semakin besar dan licin hinggalah seluruh permukaan hablur terdiri daripada permukaan-permukaan satah ini. (Lihat gambarajah di sebelah kanan.)

Antara kaedah-kaedah terlama dalam ilmu kristalografi terdiri daripada mengukur orientasi tiga dimensi pada muka-muka hablur serta menggunakan muka-muka itu untuk membuat kesimpulan tentang simetri hablur yang dasar.

Tabiat sebentuk hablur adalah bentuk luarannya yang tampak. Ini ditentukan oleh struktur hablur (yang mengehadkan kemungkinan orientasi segi), kimia dan ikatan hablur tertentu (yang mungkin menyebelahi sesetengah jenis segi), serta keadaan di mana terbentuknya hablur.